|
Pertandingan pemuzik berkumpulan (band) terbitan RTM
telah diterbitkan sekitar tahun 70-an menerusi
pertandingan Juara Kugiran. Selama hampir empat tahun
pertandingan ini diterbitkan, RTM berjaya melahirkan
kumpulan-kumpulan berbakat pada masa itu seperti
Kumpulan Titiwangsa, De Westerlies, The Rezas, The
Breeze, The Burglars, The Zurah, Suara Kilat, Teruna Ria
dan The Wanderes.
Selang tiga dekad selepas itu, RTM kembali dengan imej
baru yang lebih segar menerusi penerbitan Rentak Juara –
Rhythm Of Champions (RJROC) pada tahun 2004. Rancangan
ini dilihat sebagai salah satu wadah berterusan RTM
dalam meneruskan komitmennya dalam usaha mencungkil
bakat-bakat baru dan professional dalam bidang muzik
tanah air.
Rentak Juara – Rhythm Of Champions (RJROC) 2004
mewarnakan industri muzik tanah air dengan kehadiran
kumpulan-kumpulan pemuzik berkumpulan profesional
seperti Thunderstorm, NRG, Big Band, Skyhigh, Gerhana
Skacinta, Disagree dan Dragon Red yang mana majoritinya
ialah pemuzik kelab malam dan artis rakaman.
Johan RJROC 2004, Thunderstorm, yang asalnya hanyalah
sebuah kumpulan pemuzik di kelab malam akhirnya diangkat
sebagai sebuah kumpulan terbaik negara sehingga
melayakkan mereka bergelar artis rakaman selain berjaya
mencatat rekod dalam Malaysia Book Of Records sebagai
kumpulan yang berjaya mengadakan konsert selama 12 jam
tanpa henti. Manakala, kumpulan NRG dan Big Band yang
juga kumpulan pemuzik kelab malam dinobatkan sebagai
Naib Johan dan Tempat Ketiga. Kumpulan Skyhigh pula
meraih undian tertinggi oleh para penonton sehingga
dinobatkan sebagai Kumpulan Paling Popular pada 2004.
Melihatkan pertandingan ini mendapat sambutan yang
hangat, RTM meneruskan pertandingan ini dua tahun sekali
(bergilir dengan pertandingan penyanyi solo, Bintang
RTM). Pada tahun 2006 dna 2008, RTM membuka ruang dan
memberikan satu platform kepada pemuzik berkumpulan
amatur untuk melebarkan bakat-bakat mereka menerusi
Rentak Juara – Rhythm Of Champions (RJROC) ini.
Tahun 2006 menyaksikan kehebatan kumpulan Fenomena, Love
Machine dan Matta. Meskipun kumpulan muzik di era
generasi baru, kumpulan-kumpulan ini telah membuktikan
kemampuan mereka setelah diberi cabaran untuk
mengenengahkan irama lagu 60’an di dalam muzik mereka.
Pada tahun 2008, RJROC telah melahirkan johan, naib
johan dan Tempat ke-3 menerusi kumpulan Aisunam, Cherish
2000 dan Carbolic Smokeballs. Walaupun kumpulan-kumpulan
ini baru dalam industri muzik, namun kumpulan-kumpulan
ini mampu menyaingi kehebatan kumpulan-kumpulan muzik
yang aktif bergerak secara mainstream. Aisunam telah
melahirkan beberapa buah album dan popular menerusi lagu
Bisikan, Manusia, Keadilan dan Bintang Kehidupan.
Rentak Juara 2010 kembali dengan tag-line baru iaitu
Julang Jati Diri memberi peluang kepada para pemuzik
berkumpulan profesional dan amatur berentap di atas
platform yang sama, mengenengahkan bakat-bakat mereka
dalam penciptaan lagu-lagu sendiri dan memperjuangkan
lagu-lagu ciptaan tempatan dalam bahasa Malaysia sahaja.
Buat pertama kali, Rentak Juara menerbitkan 13 episod 30
minit diari, DENTUM RENTAK JUARA yang akan bersiaran
bermula pada 19, 20, 21, 22, 26, 27, 28, 29 April 2010,
4 -4.30 petang di TV2. Lima buah diari akan disiarkan
pada 13, 14, 15, 16 dan 17 Julai 2010 sebagai kiraan
detik kepada rancangan pertandingan akhir Rentak Juara
2010.
|