![]() |
|
Penjelajahan krew produksi Rentak Juara Rhythm of Champions (RJROC) di 16 lokasi di seluruh negara yang bermula 24 November tahun lalu sehingga 3 Februari 2008 menyaksikan sejumlah 414 kumpulan mengambil kesempatan menyertai uji bakat yang diadakan. Penyertaan jumlah sedemikian memberikan petanda positif terhadap kepercayaan kumpulan-kumpulan muzik amatur tanah air terhadap reputasi dan keupayaan RTM melahirkan bakat-bakat baru. Paling utama juga, kehadiran lebih 400 kumpulan itu ke uji bakat RJROC2008 juga sekali gus memberi keyakinan kepada RTM bahawa program pencarian bakat berkumpulan ini masih relevan dalam aspek membantu industri hiburan melahirkan bakat-bakat muzik yang terbaik Daripada jumlah besar itu juga, krew penerbitan RJROC 2008 bekerja keras melakukan pemilihan dengan penuh teliti untuk memilih hanya 30 buah kumpulan terbaik untuk menyahut cabaran pada peringkat suku akhir. Seterusnya jumlah itu dikecilkan lagi untuk melayakkan mereka menyertai peringkat separuh akhir dan seterusnya ke peringkat akhir. Seperti juga pada RJROC musim-musim lepas, daripada 30 kumpulan yang terpilih itu akan dibahagikan kepada 6 episod peringkat suku akhir yang menyaksikan 5 kumpulan akan beraksi setiap minggu. RTM juga telah menetapkan peringkat Suku Akhir pertama RJROC2008 akan berlansung pada 6 April 2008 dan peringkat Suku Akhir ke-6 dijangka berlangsung pada 11 Mei 2008. Pada setiap minggu episod Suku Akhir, sebanyak 2 kumpulan akan dipilih terus oleh barisan juri profesional untuk mara ke peringkat Separuh Akhir. Sementara tiga kumpulan yang gagal dipilih oleh juri profesional pada setiap peringkat Suku Akhir pula akan diberi peluang sekali lagi dengan pemilihan dibuat menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh penonton-penonton RJROC. Kesemua 6 kumpulan pilihan penonton melalui SMS, akan bertanding semula di episod 7 iaitu di minggu Suku Akhir SMS pada 18 Mei 2008 Daripada keenam-enam kumpulan ini, hanya dua kumpulan yang terbaik baik akan dipilih oleh juri profesional untuk melayakkan diri ke peringkat Separuh Akhir. Seterusnya, fasa saringan RJROC 2008 akan memasuki peringkat Separuh Akhir pula yang menyaksikan kesemua 14 kumpulan pilihan juri profesional akan dibahagi kepada 2 episod. Setiap episod akan disertai oleh 7 kumpulan dengan episod pertama Separuh Akhir akan menemui penonton pada 25 Mei 2008 dan episod kedua pada 1 Jun 2008. Pada setiap episod Separuh Akhir pula, sebanyak 3 kumpulan akan dipilih oleh juri untuk terus mara ke peringkat Akhir. Sementara itu, 4 kumpulan yang tidak menjadi pilihan juri pada peringkat Separuh Akhir pula masih mempunyai peluang sekali lagi. Mereka yang tewas pada peringkat Separuh Akhir, iaitu 4 kumpulan akan diberi kesempatan untuk merayu undian secara SMS daripada penonton untuk bertanding sekali lagi di episod 10 iaitu di peringkat Separuh Akhir SMS. Peringkat Separuh Akhir SMS yang akan berlangsung pada 8 Jun 2008, dua kumpulan terbaik akan dipilih oleh panel juri untuk layak ke peringkat Akhir RJROC 2006. Sekali gus, RJROC 2008 menjadikan kumpulan yang akan bertanding pada malam peringkat Akhir nanti sebanyak 8 kumpulan kesemuanya. Dalam usaha meningkatkan daya keyakinan para peserta, RTM juga mengambil inisiatif menerbitkan satu episod khas iaitu episod “Showcase Kumpulan Peringkat Akhir” pada 15 Jun 2008, iaitu seminggu sebelum peringkat Akhir. Pada masa yang sama, matlamat penerbitan episod khas ini juga bertujuan untuk memperkenalkan semula kumpulan final RJROC 2008 kepada penonton. Di samping itu, penerbitan episod khas ini ialah untuk membolehkan penonton membuat penilaian kumpulan manakah yang paling layak untuk digelar sebagai kumpulan PALING POPULAR melalui undian SMS. Selain dari pertandingan yang dijalankan mengikut format yang telah ditetapkan, pihak penerbitan juga akan menerbitkan sebuah “Konsert Pemenang RJROC 2008”. Konsert ini pula sebagai menterjemahkan penghargaan RTM kepada kejayaan dan komitmen pemenang dalam menjayakan RJROC 2008. Konsert ini dirancang disiarkan secara langsung pada 29 Jun 2008.
|
|
Hakcipta Rentak Juara 2008 |